Thursday, March 10, 2011

Sehari di Tallinn, Estonia

Sebelum ini aku tidak pernah dengar pun ada negara bernama Estonia apatah lagi hendak ambil tahu tentangnya sehinggalah aku datang ke Helsinki. Nama Tallinn di sebut-sebut sebagai bandar yang mesti dilawati.
Lalu, kami pun membuat perancangan untuk ke bandar tersebut sebagai sebahagian daripada program di hujung minggu. Setelah menempah tiket feri Eckero Line yang berharga 42e seorang, maka bermulalah perjalanan kami ke negara yang pernah berada di bawah jajahan kuasa besar Soviet Union sehingga 1991.
Estonia adalah sebuah negara yang terletak dalam Negara-negara Rantau Baltik. Selain Estonia, negara lain dalam rantau ini ialah Lithuania dan Latvia. Ia dinamakan begitu kerana kedudukannya yang terletak di perairan Baltik, di timur laut benua Eropah. Ketiga-tiga negara ini mula menganggotai Kesatuan Negara Eropah sejak 2004.

Kami keluar dari apartment tepat jam 7.30 pagi Sabtu 5/3/2011. Kami menaiki tram no 6 menuju ke Ruolahti dan kemudian menaiki bas no 15 menuju ke West Habour. Cuaca pagi itu agak mendung dan dingin.
Tepat jam 8.00 kami sudah berada dalam feri Eckero Line yang pada pandanganku agak mewah dan seperti berada dalam sebuah hotel 4 bintang. Jika dibandingkan dengan feri yang membawa penumpang ke Langkawi, memang jauh sangat-sangat. Ia lebih kepada sebuah kapal cruise.








Perjalanan daripada Helsinki ke Tallinn memakan masa selama 3 jam. Suspen juga apabila kapal melalui laut yang beku dengan ketulan-ketulan ais terapung di permukaan. Sepanjang perjalanan, kami duduk di kafe, di tepi tingkap. Dua pasangan mat saleh yang sudah berusia cuba menegur kami, tetapi mereka tidak dapat berbahasa Inggeris. Kasihan tengok makcik tu yang cuba bertanya sesuatu...





Kami tiba di Tallinn lebih kurang jam 12.15 tengahari. Ketika itu matahari sudah mula memancar, namun cuaca agak dingin dengan angin yang bertiup agak kencang. Kami mengambil keputusan untuk menjelajah bandar bersejarah itu dahulu sebelum check-in di hotel kerana masa check-in hanya pada pukul 2 ptg.
Ketika ini barulah aku sedari yang simkad Celcom tidak ada dalam simpananku. Entah di mana aku letak, atau mungkin tercicir semasa dompetku terjatuh semasa hendak membayar di K-Supermarket semalam. Aku mula risau kerana aku tidak dapat menghubungi abang untuk memberitahunya bahawa aku sudah sampai di Tallin. Tentu dia tertunggu2 ketika ini.
Kami berjalan bermula dari pelabuhan Tallinn menuju ke kawasan gereja Oleviste Kirik atau St Olaf's Church. Gereja ini adalah bangunan lama yang dibina sejak kurun ke-12.Ia merupakan bangunan tertinggi di dunia pada masa itu sehingga tahun 1625 dan telah banyak kali disambar petir. Di hadapan gereja ini terletak kubu yang dibina semasa zaman perang dahulu. Kubu ini dibina sepanjang Old Town untuk melindungi bandar tersebut.





Kemudian kami meneruskan langkah ke Old Town yang terletak bangunan2 lama tinggalan sejarah.
Kemudian kami terus ke hotel untuk makan check in dan makan tengahari yang kami bawa dr Helsinki. Setelah selesai makan tengahari, kami keluar semula untuk menyambung menjelajah bandar Tallinn.
Kami ke kedai yang menjual Souvenir. Bukan main susah lagi hendak bertanya jalan kepada orang ramai kerana kebanyakan mereka tidak pandai berbahasa Inggeris. Lalu, kami hanya mengikut langkah kaki sahaja.



Kemudian kami ke Viru Keskus, iaitu shopping mall terbesar di sini. Pertama sekali aku menuju ke Kioski untuk membeli simkad baru. Mujurlah harga simkad paling murah hanya 2.95e. Cukuplah untuk 2 hari aku di sini. Sekurang-kurangnya aku dapatlah memberitahu abang yang aku sudah selamat sampai.
Setelah memasukkan simkad, da cuba sms abang, aku dapati tiada balasan. Aku cuba memahami apa yang tertulis dalam buku panduan, tetapi sepatah haram pun aku tak faham kerana bahasanya lain daripada bahasa Finnish. Aku cuba bertanya seseorang, tetapi tiada yang faham. Lalu aku menuju ke tourist information dan petugas itu mencadangkan agar aku ke outlet EMT iaitu service provider yang aku gunakan itu. Mujurlah ia terletak tidak jauh dari kaunter itu sahaja. Setelah aku diberitahu bahawa aku boleh membuat panggilan dan sms seperti biasa sahaja, barulah aku lega. Sayangnya hp aku pula yang habis bateri.
Ketika ini aku sudah kepenatan dan haus ditambah lagi dengan risau kerana tidak dapat menghubungi abang. Sementara menunggu Haifa yang sudah hilang akal membeli belah kerana barangan terutamanya pakaian di sini sangat murah berbanding dengan Helsinki, kami bertiga menuju ke supermarket untuk mencari minuman untuk membasahkan tekak.
Oleh kerana Haifa masih belum siap membeli belah, kami mengambil keputusan untuk ke kedai yang menjual coklat. Ketika ini Lineth menawarkan hpnya untuk digunakan kerana dia sendiri tidak perlukan ketika itu. Alhamdulillah, aku dapat sms abang wpun tanpa balasan. Aku mula risau, mungkin abang sudah merajuk, atau mungkin juga tengah sibuk rewang di rumah Cik Non.

Setelah Haifa selesai membeli-belah, mereka bertiga mengambil keputusan untuk mencari makan malam. Pada ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam dan susasana sudah agak gelap. Aku hanya mengikut kerana aku tidak tahu jalan hendak pulang ke hotel dan kalau tahu pun aku tidak berani. Tallinn nampaknya tidak seperti Helsinki. Bandarnya agak havov, dan diberitahu kononnya ia adalah bandar syurga untuk night life...
Mereka masuk ke sebuah restoran yang menjual pasta. Aku teragak-agak untuk masuk kerana ia tertulis 'Restaurant n Bar', tapi aku tiada pilihan. Inilah pertama kali dalam hidup aku masuk ke dalam sebuah bar. Mereka juga sudah tidak tahu nak cari restoran mana lagi. ID dalam restoran tu agak menarik. Aku lega sedikit apabila ada keluarga dengan anak-anak kecil yang sedang menjamu selera di situ. Tapi mujurlah bar itu tidak seperti yang aku bayangkan. Ia hanyalah sebuah restoran biasa.
Aku hanya menunggu mereka makan. Pasta yang dipesan membuka seleraku, tapi aku tak akan menjamahnya kerana sudah pasti tidak halal.
Seusai makan, kami bercadang untuk ke Platform yang dikatakan dapat melihat bandar Tallinn pada waktu malam. Oleh kerana aku belum makan, dan perutku pun sudah berkeroncong, mereka cadangkan agar kami pulang dahulu ke hotel. Tetapi setelah berjalan beberapa meter, akhirnya kami mengubah fikiran untuk terus pulang memandangkan suasana yang agak menyeramkan serta angin yang sangat dingin membuatkan kami menggigil kesejukan.
Sepulangnya ke hotel, aku terus mengecas telefon dan SMS abangs ekali lagi. Tidak lama kemudian, abang menelefonku dan menyatakan bahawa dia sudah membalas smsku tetapi aku yang tidka terima. Syukurlah... Aku lega.
Keesokannya, pagi2 lagi kami memulakan penjelajahan seusai sarapan pagi. Kami mula menuju ke Old Town dan membeli belah di Mere Keskus yang menjual pakaian dan souvenir.




Tepat jam 2.30 petang, kami sudah berada dalam feri untuk pulang ke Helsinki. Badan sudah terasa amat penat. kaki pun sudah kematu kerana berjalan hampir tiga kali round bandar Tallin.

Inilah makan malam di atas feri:




Ini pula pemandangan sepanjang perjalanan pulang:



Secara keseluruhannya, Tallinn mengingatkan aku kepada Langkawi dan Melaka. Kebanyakan penumpang membeli berkotak2 arak kerana harganya yang sangat murah dan tentulah jauh lebih murah daripada Helsinki.
Di dalam feri, ada juga kedai Duty Free untuk membeli barangan seperti coklat, kosmetik, minyak wangi, arak, rokok dsb.
Kami tiba di apartment jam 8.30 malam.

0 comments:

Post a Comment