Sunday, February 27, 2011

Akan ku sampaikan walau sepotong ayat

Aku tidak ada pengalaman berkawan dengan non-muslim. Sejak di bangku sekolah rendah, masuk ke sekolah menengah, 100% adalah Melayu dan seagama. Begitu juga di universiti, sungguhpun ada teman-teman sekuliah berlainan agama namun aku tidak pernah rapat dengan mereka. Tidak pernah terfikir untuk menampaikan apa-apa kepada mereka tentang Islam. Tambahan pula di Malaysia, segala amalan orang Islam sudah menjadi kebiasaan pada pandangan mereka. Lalu, tiada persoalan yang pernah mereka tanyakan, atau mungkin sikap prejudis antara kaum membuatkan kita semua saling mendiamkan diri.
Tetapi pengalamanku di sini, bersahabat dengan teman daripada berlainan bangsa, agama dan negara memberi aku pengalaman yang baru. Pada mulanya, aku hanya menjalankan kewajipanku kepada ALLAH SWT, sama seperti yang dilakukan di Malaysia seperti menunaikan solat 5 waktu dan menutup aurat. Ya, itu adalah kebiasaan yang tidak boleh ditinggalkan.
Setiap hari, selepas menikmati makan tengahari bersama teman-teman, aku akan mengambil peluang untuk solat zuhur. Aku perlu cepat kerana waktu zuhur di sini sangat pendek, sekitar 1-2 jam sahaja. Jika aku tidak bersegera, aku akan terlepas waktu tersebut. Jika waktu makan tengahari tidak pada waktu zuhur (kerana di sini, tiada waktu khusus utk rehat tengahari, bergantung kepada lecturer nak lepaskan kami pukul berapa), aku akan mencari waktu juga untuk menunaikan solat.
Perlakuanku rupa-rupanya menarik perhatian teman dari Costa Rica. Sudah beberapa kali dia bertanya sedikit sebanyak tentang itu ini, dan aku menjawab sebaik mungkin. Tetapi, semalam dia bertanya aku tentang solat.
Semalam, sewaktu di sauna dia bertanya kepadaku tentang solat; macam mana wuduk, kenapa kena basuh itu ini, mengapa aku bersolat, dan berapa kali.
Tentang wuduk, aku katakan begini: Sama seperti kita hendak bertemu dengan Raja atau Menteri, kita mesti hendak kelihatan bersih dan cantik serta sempurna. Apatah lagi kita hendak bertemu TUHAN, mestilah kita hendak dalam keadaan sempurna. Berkenaan dengan solat lima waktu, mengapa kita perlu mengadap TUHAN lima kali sehari, aku katakan kepadanya bahawa sama seperti dia hendak datang ke sini seperti mana yang dia pernah ceritakan bahawa dia perlu menelefon setiap hari pegawai yang hendak meluluskan suratnya agar jangan sampai pegawai itu lupakan suratnya. Justeru, begitu juga aku dan ALLAH. Aku harus 'bertemu' dia lima kali sehari agar DIA tidak lupakan aku atau tidak endahkan AKU walaupun aku tahu DIA Maha Melihat dan Maha menyayangi. Aku katakan juga kepadanya, sama juga seperti orang bercinta... Kalau kita cinta dan kasihkan kekasih kita, kita sentiasa hendak bertemu dengannya, bercerita dengannya dan tidak mahu dia lupakan kita. Nampaknya dia tertarik dengan penerangan mudahku.
Dia juga bertanya, mengapa aku perlu tutup rambutku. Aku katakan kepadanya, rambut adalah aset penting bagi seorang wanita. Ia adalah lambang kecantikan wanita. Lalu, yang cantik itu perlu disimpan baik-baik, ditutuo rapi dan ditontonkan hanya kepada yang berhak sahaja seperti suami, famili terdekat. Islam meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan wanita adalah untuk dilindungi bukan untuk dipergunakan.

Semoga... semoga dengan penerangan mudah daripada aku yang masih jahil ini akan membuka hatinya untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Manalah tahu... ALLAH hendak berikan hidayah kepadanya. Dan semoga... semoga aku telah menunaikan pesan Rasulullah SAW untuk menyampaikan walau satu ayat...

Sunday, February 20, 2011

SUatu Hari Yang Lucu

Peristiwa ini berlaku pada Isnin yang lepas. Sebaik saja selesai kuliah, aku dan Irma bercadang hendak ke Hanakiemi untuk mendapatkan sedikit bahan untuk memasak. Lalu kami menaiki bas 73. ketika itu suhu -21 C, sanagt sejuk sekali! Sebaik saja turun di terminal bas 73, kami masuk ke sebuah kedai yang seperti menjual barangan jahitan. Konon, Irma hendak membeli jarum dan benang kerana begnya sudah terkoyak. Setelah melilau di dalam kedai, aku bertanya kepada tuan kedai adakah dia menjaul benang dan jarum. Nampaknya di situ tiada barang yang Irma kehendaki, lalu gadis penjual itu menunjukkan bagunan yang terletak di hadapan kedainya. Menurutnya, di tingkat dua bangunan itu mungkin ada.
Lalu kami terus saja melintas jalan dan masuk ke bangunan yang nampak agak aneh dan tertutup itu. Pada mulanya kami teragak-agak untuk masuk, kerana bangunan tersebut kelihatan seperti pejabat atau rumah orang. Tetapi kami memberanikan diri juga menolak pintu yang berat itu. Sebaik saja pintu terbuka, kelihatan gerai-gerai menjual daging dan ikan. Aku sudah mula loya kerana membayangkan entah apa-apa daging yang mereka jual. Baunya juga tidak menyenangkan. Oh, rupa-rupanya bangunan itu adalah pasar basah! Inilah masalahnya di Finland, langsung tidak mesra pelancong.
Kami terus berjalan, mencari tangga untuk ke tingkat 2 untuk mendapatkan benang dan jarum seperti yang diberitahu oleh gadis penjual tadi. Di tingkat 1 hanya menjual ikan, daging, sayur2an serta buah2an.
Setelah berpusing-pusing, akhirnya kami bertemu dengan tangga (yang terletak di pintu masuk tadi). Kami naik ke atas dan di tingkat 2 itu terdapat bermacam-macam barangan kraftangan, pakaian dsb. Sekarang, kami tahulah di mana hendak cari souvenir! Hakaniemi Market Hall itu mengingatkan aku kepada Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Payang walaupun tidak happening dan sesibuk seperti kedua2 pasar besar di Malaysia itu.
Setelah bertemu dengan kedai yang menjual jarum dan benang, kami agak terkejut melihat harga yang terpampang iaitu sepaket jarum harganya 3.50e! Huh, kalau didarab 4, boleh buat makan McD! Irma pun tak sampai hati nak beli... huhuhuu
Selesai membeli segala keperluan di kedai Siam dan Pakistan tu, kami pun terus ke stesen tram untuk pulang. Puas kami fikir, tram nombor berapa yang boleh membawa kami terus ke apartment, tetapi baik aku mahupun Irma tidak dapatmengingati tram mana yang kami naiki dahulu. Kami hanya ingat,kami menunggu tram untuk pulang.
Kemudian, kami mengambil keputusan untuk menaiki Metro, berhenti di stesen Kamppi dan ambil tram no 3T.
Setiba di stesen Metro yang terletak di bawah tanah, kami teragak-agak arah mana yang perlu kami naik, memandangkan susah benar hendak memahami bahasa mereka. Lalu Irma berkata, "Hah, sebelah ini Kak Nik!" Aku mengikut saja tanpa turut memerhati arah tujunya. Sebaik saja kami melangkah masuk, Irma sekali lagi memberi keyakinan: "Betul Kak Nik.." Aku diam dan duduk berangan saja. Hati sudah tidak sabar untuk segera sampai di rumah untuk berSkype.
Beberapa ketika di dalam Metro, aku bertanya kepada Irma, "Kenapa lama benar? Bukankah dekat aje Hakaniemi dengan Ruohohalti?" Irma kebingunan. "Eiii... ini sudah salah kok!" jawabnya.
Setibanya di stesen Itakeskus, sah kami tersalah haluan! Lalu kami berhenti di stesen berikut selepas Itakeskus.
Menunggu Metro selepas itu amat menyiksakan kerana cuaca amat dingin. Terasa kebas jari-jari kaki dan tangan. Hidung pun dah rasa seperti hidung Clown.
Metro tiba 4 minit kemudian, membawa kami ke Kamppi. Keluar saja dari stesen Kamppi,kami terus mencari bas 70T, konon untuk segera tiba di apartment Toolo Tower.
Terlihat saja bas 70T,kami berkejar mendapatkannya. Malangnya bas tersebut berkunci dan pemandunya juga entah ke mana. Mungkin masa merehat mereka. Dalam kedinginan itu, kami berlari ke arah stesen tram 3T yang berdekatan. Tidak lama kemudian, kami ternampak bas 70T bergerak melintasi kami, berhampiran dengan lampu isyarat. eperti kanak-kanak Ribena, kami berlari mengejar bas kerana sudah tidak tahan kedinginan menunggu tram yang akan tiba hanya 8 minit kemudian.
Apa yang lucunya, kami menahan bas tersebut dan bas itu berhenti. Kami bergerak ke arah kiri bas (kerana biasanya pintu bas di Malaysia dan Indonesia terletak di situ). Kemudian kami berlari lagi ke arah yang betentangan. Malangnya bas tersebut terus beredar... Huhuhuuuu... Kelakar sangat!!!
"Kak Nik, bus stopnya di sana!!" Irma menunjukkan bus stop yang terletak beberapa meter sahaja dari stesen tram 3T. Kami belari-lari lagi melintas jalan, mengejar bas tersebut. Nasib baiklah tak tergelincir kerana salji yang mengeras membuatkan jalan sangat licin.
Sebaik saja kami duduk di bangku bas, kami ketawa macam nak pecah perut. Sungguh kelakar!!!! Mujurlah kami tidak dikenali di sini dan orang Finnish pun bukan jenis yang ambil kisah seperti orang Malaysia.... Dan aku tak boleh berhenti tersenyum mengenangkan peristiwa lucu ini!!!

Tuesday, February 15, 2011

Minggu yang sangat dingin

Menurut Weather Forecast, minggu ni suhu di Helsinki sekitar -17 hingga -25 C! Wah, kalau sebelum ini dengar suhu bawah paras beku pun dah tak boleh nak imagine macam mana sejuknya, ini kan pula sehingga -20 C!
Semalam (Isnin) adalah hari yang paling sejuk kami rasakan dan kebanyakan staff VERIFIN serta staff Toolo Tower yang bertemu kami akan tanya keadaan kami dgn suhu yang sangat ekstrim di luar sana. Yah... sangat mencabar!!
Kulit mula menggelupas, terutama di bawah bibir dan di bahagian atas tangan (hampir dengan pergelangan tangan). Mudah sangat terluka kalau tersentuh apa-apa. Dan paling tak best bila ada elektrostatik esp bila bersentuhan dengan barangan logam. Nak buka pintu bilik air pun takut... Sakit woooo...

Minggu ini dan minggu2 seterusnya kami sudah mula masuk makmal, inject sample dan buat analisis. Banyak yang aku tak tahu... dan aku tak rasa segan bertanya kerana mereka dengan senang hati menjawab. Kalau aku tidak ambil kesempatan ini untuk mendapatkan sebanyak mana ilmu, aku akan rugi. Mereka adalah pakar analisis CWA yang sudah diiktiraf oleh OPCW. Mudah-mudahan aku mendapat sebanyak ilmu yang boleh.
Apa yang aku belajar, kita tidak perlu bergantung kepada supplier sekiranya berlaku sebarang masalah pad alat. Kita perlu tahu sebanyak mungkin dan sedalam mungkin tentang peralatan yang kita gunakan. Troubleshooting sendiri segala masalah alat supaya kita tidak tertipu oleh supplier/vendor.
Banyak perkara yang kita tak terfikir sepatutnya kita lakukan di sana kerana kurangnya ilmu kita. Hmm... harap2 segala ilmu ini akan membantu setelah aku pulang nanti... InsyaALLAH...

Thursday, February 10, 2011

Helsinki : Sekilas Pandang 2

Sudah sepuluh hari aku di sini. Kuliah tentang GC sudah bermula. Kuliah tentang nomenclature of CWA juga sudah.. Walaupun agak relaks dan santai, namun agak mencabar minda juga. Terasa seperti kembali ke zaman ijazah pertama dahulu. Minggu depan mungkin akan lebih mencabar lagi...
Apa yang membuatkan aku kagum, mereka sangat pakar dalam bidang mereka. Mereka faham dan mendalami apa yang mereka buat. Mereka tahu macam mana nak baiki, apa yang perlu buat sekiranya terjadi begitu dan begini... Kalau di tempat aku kerja, hmmm... rosak aje kena panggil agen/vendor untuk baiki. Kami buat kerja macam-macam, segala bidang nak pakar, tetapi hasilnya kami tidak mahir semua perkara. Contohnya aku... aku tahu tentang textile physical testing, chemical testing, anthropometri pun aku belasah... tapi satu pun aku tidak betul2 pakar.
Satu lagi yang aku suka Finland ni, mereka cukup menjaga kesejahteraan alam sekitar. Petrol mereka tak mengandungu Sulfur dan Lead, begitu juga gas masak sedangkan mereka bukan pengeluar minyak dunia! Kita?? Begitu juga dengan bahan buangan, setiap rumah atau bangunan perlu ada 3 jenis palstik sampah: bahan buangan makanan, bahan buangan yang boleh dikitar semula dan bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula tetapi non-toxic. Begitu juga detergent, mereka menggunakan detergent yang environmental friendly.
Kalau di bangunan2 modern dan sofistikated di KL, tentu agak sukar untuk ke tandas kerana kebanyakan tandas tidak ada paip air. Nak basuh kencing pun susah, tetapi tidak di Finland. Tandas baik di shopping mall ataupun di kampus atau di apartment pasti ada paip air dan tandas mereka cukup bersih, tidak ada air yang meleleh atau kotoran yang ditinggalkan. Aku tak perlu risau kalau nak masuk ke mana-mana tandas pun dan tidak perlu bawa botol utk bersuci. (orang Finnish ni basuh dgn air ke? I wonder...)

Sunday, February 6, 2011

Dah jumpa pasaraya yang jual macam-macam..

Pada mulanya aku ingat tak nak ke mana-mana hari ini. Tapi, seharian terkurung di apartment, rasa bingung pula. Nampak pula matahari bersinar terik, teringin nak rasa panasnya matahari. Lalu, aku mengajak Irma keluar.
Irma pula masih cuba mendapatkan Voice Recorder yang dicari sejak beberapa hari lalu tapi masih belum berpuas hati dengan harganya. Dia mengajak aku ke Verkokkauppa.com sekali lagi. Aku mengikut saja... Aku hanya ingin mencari selipar untuk dipakai di bilik.
Kami menaiki tram No. 8 dan berhenti di stesen Itämerikatu untuk ke Ruohalti (yg bermaksud Crash Bay). Di Ruohalti itulah terletaknya Verkokkauppa.com. Dan, aku baru teringat, di situlah terletaknya K-Citymarket yang katanya ada menjual macam-macam barang. Hmmm... boleh cuba!
Selepas Irma membeli Voice Recorder, aku mengajaknya ke K-Citymarket yang terletak di tingkat -2 bangunan itu. Sebaik saja kami keluar dari lif, WOW! Itulah pasaraya yang aku cari selama aku di sini... Keadaannya spt Carefour atau Giant... Dari barang makanan, kosmetik, sehinggalah saur dan buah...
Di sini, aku dapat semua barang yang aku nak termasuk gandum, selipar dan sos... Dan secara tak sengaja aku terbeli Winter coat berwarna ungu kerana harga sangat murah iaitu 15 euros shj!!. Dan hari ini aku hanya berbelanja 45.50 euros SAHAJA... (huhuhu... jgn darab dgn 4!!!!)









Nota:
Aku cukup bahagia... aku tahu, kejauhan ini mengajar kami erti rindu, erti kasih dan cinta. Indahnya disayangi, dicintai dan dirindui... lebih2 lagi rindu, cinta dan kasih itu di atas landasan yang benar... Semoga perasaan ini akan berkekalan selama-lamanya... Terima Kasih TUHAN...

Saturday, February 5, 2011

Semakin Jauh Semakin Sayang

Terima kasih TUHAN untuk perasaan yang KAU anugerahi ini... Kejauhan ini mengajar aku tentang rindu dan kasih sayang.
Dia yang aku sayang, dia yang aku cinta...
Anak-anak yang cukup menghiburkan meskipun ada waktu aku kelelahan menladeni mereka.
Semoga perasaan ini kekal selama-lamanya...

Helsinki dan Finnish: Sekilas pandang..

Sudah seminggu aku berada di sini, Helsinki, Finland. Walaupun masih belum banyak tempat yang aku jelajahi dan masih belum ramai yang aku kenali namun inilah sedikit sebanyak apa yang aku nampak selama aku berada di sini.
Saat pertama aku jejaki kaki ke tanah Suomi ini, pemandangannya seperti sebuah bandar mati: seperti ditutupi selimut putih di mana2.. Pokok2 pula tidak berdaun, hanya tinggal ranting kayu.. ya seperti pokok mati dipanah petir.
Dan, pemandangan ini ada di mana2, di seluruh FInland mungkin.
Bandaraya Helsinki tidaklah besar mana, mungkin tidak sebesar Kuala Lumpur juga tidaklah nampak sesibuk Kuala Lumpur. Mungkin kerana penduduknya lebih suka mengurungkan diri di rumah daripada berada di luar dalam cuaca sebegini (berhibernasi). Yalah, siapa nak melepak2 di luar kalau jalannya pun licin, cuacanya ada potensi untuk membunuh bagi sesiapa yang tidak tahan terutamanya warga tua dan kanak2. Jalanraya di sini tidaklah sesibuk KL yang jarang sekali tidak ada kesesakan lalu lintas. Mungkin kemudahan pengangkutan awamnya yang sangat efisien - ke mana dan di mana saya serta bila2 masa saja kita boleh mendapatkan tram atau bas tanpa perlu menunggu lama. Perumahan juga dibina di sepanjang jalanraya (landasan tram dan jalan raya adalah sebelah menyebelah, dan kdg2 kereta pun blh lalu di atas landasan tram tanpa berlaku kemalangan, insyaALLAH). Tidak kira tua atau muda, semuanya mengambil kemudahan awam untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi. Pemandangan yang agak aneh buat aku adalah melihat nenek2 dan atuk2 yang bertongkat masih mampu menaiki tram sendirian. Mungkin juga kerana petrol, cukai jalan, serta harga kereta yang mahal di sini membuatkan mereka tidak mampu memiliki kenderaan sendiri. Tidak seperti di Malaysia, satu rumah paling kurang mesti ada sebuah kereta. Dan kadang2 sampai 4 atau 5 buah... Orang Malaysia sangat hebat!
Walau bagaimanapun, agak sukar untuk memahami peta routes tram dan bas di sini sebab semuanya dalam bahasa Finnish. Lagipun tidak ada tertulis nama stesen dengan jelas. Rasanya peta di Malaysia adalah lebih membantu pelancong spt kami.
Apa yang aku nampak di sini, Finnish tidak begitu mengutamakan pelancong, tidak sama dengan kita orang Malaysia terutamanya orang Melayu di mana pelancong lebih diutamakan sehingga kadang2 ada rakyat sendiri yang tidak faham..
Bahasa Finnish atau Suomi agak pelik didengar dan kedengaran agak kasar bila mereka bertutur. Agak susah bagi aku hendak menyebut perkataan2 Finnish ni, hatta menyebut nama tempat pun lidahku terbeli2..

AKu suka tengok rupa paras orang Finnish. Muka dia orang ni macam patung Barbie - tinggi kurus, hidung mancung tirus, kaki kurus dan panjang, berambut perang seperti bulu jagung... Tapi muka mereka selelu kelihatan serius, jarang tersenyum atau ketawa. Mungkin cuaca extreme membuatkan mereka jadi stress (??). Pada pemerhatian aku, orang Finnish tidak banyak bercakap, lebih banyak reserved, tetapi tidak keberatan membantu jika ditanya (aku selalu tanya bahan2 dalam makanan spt roti, jem dsb).
Apa yang menarik di VERIFIN, mereka lebih suka pulang awal di petang Jumaat utk mendapatkan hujung minggu yang panjang. Kalau tak salah faham aku, mereka akan bekerja maksimum 40 jam seminggu sahaja, kerana jika bekerja lebih pun mereka tidak akan dapat apa2 insentif. ??? Kalau di Malaysia, ada juga yang akan bekerja 12-24 sehari! Anehnya, mereka lebih efisien dari kita... (??)

Itulah serba sedikit yang aku lihat selama seminggu di sini. Mungkin pendapat ini akan berubah kemudian hari... Kita lihat nanti!

Friday, February 4, 2011

Perjalanan yang sangat mencabar

Setelah bersiap-siap iaitu selepas berbual dgn Amanda melalui Skype, aku menjenguk ke luar tingkap. Nampaknya ada sedikit awan di dada langit. Alhamdulillah, nampaknya hari ini ada sedikit harapan untuk dapatkan sinar matahari. Tidak seperti dua hari lepas, langsung tiada matahari menjengah.
Aku bersegera turun ke lobby, tidak mahu biarkan mereka menunggu seperti semalam.
Sebaik saja keluar dan melangkah ke tanah, ternyata kami tidak mampu melalui jalan yang selalu kami ikuti kerana jalan sangat licin. Lalu mencari jalan yang lebih selamat meskipun agak jauh. Sungguh mencabar kerana kami harus bijak mengimbangi badan agar tidak terjatuh.
Tram tiba sejurus saja kami melintas jalan.
20 minit kemudian kami tiba di KUmpula Campus. Jalan sangat licin dan beberapa kali aku 'bersilat' di atas ais tu... Dan menadki bukit menuju ke Kumpula Campus amat mencabar keseimbangan badan. Weeehaaaa... pengalaman yang sangat mencabar dan menduga. Dalam diam, aku bersyukur kerana di tanahairku, aku tidak perlu fikirkan ini semua. Keluar aje pintu rumah, hidupkan enjin kereta, lalu pergi ke mana saja aku mahu pergi. Kalau hujan pun, kita tak perlu risaukan jalan yang licin, dan kita boleh pakai apa saja kasut yang kita suka baik waktu hujan mahupun panas terik.

Kuliah hari ini hanya separuh hari kerana kebanyakan staff di sini pulang lebih awal di petang Jumaat agar mereka dapat hujung minggu yang panjang. Menarik jugak... (aku akan cerita lebih lanjut dalam entry akan datang).
Sewaktu kuliah, Matti berikan sedikit panduan tentang tempat2 menarik di Helsinki untuk kami 'explore' pada hujung minggu. Dan, dia ketawa besar bila kami nyatakan bahawa kami hanya berani (rasa lebih selamat) untuk ambil tram berbanding dengan bas. Katanya, kami tidak perlu risau untuk mengambil mana2 bas atau Metro (kalau kat Malaysia = LRT) kerana kedua2nya hanya bergerak di sekitar Helsinki dan mempunyai 'routes' yang sama. Sekiranya kita terlepas, kita boleh berpatah balik tanpa menuruni tram atau bas tersebut. Dan ianya tidak akan mengambil banyak masa... Ya, ketika ini aku terbayangkan suasana di KL andainya tersesat atau terlepas stesyen! (kecuali LRT)

Jam 1130 pagi kami mula melangkah keluar dar VERIFIN. Kami akan ke kedai yang menjual peralatan IT iaitu Verkkokauppa.com yang terletak di ke Itämerenkatu. Ya, paling selamat adalah menaiki tram no 8!
Semasa perjalanan turun ke jalan besar, sekali lagi kami stuggle untuk tidak tergelincir. Dan, aku gagal mengimbangi badan semasa di hujung jalan... Aku terjatuh! hahahhaa... pengalaman yang cukup kelakar!!

Kami tiba di Itämerenkatu yang terletak 45 minit kemudian. Akhirnya Lineth jumpa jugak kabel untuk laptopnya. Oleh kerana aku bimbang tidak sempat solat Zuhur dan Asar, maka aku balik sendirian ke Toolo Tower...

Salji turun..



Setelah lima hari berada di sini, hari ini salji turun dengan lebatnya. Kelihatannya seperti kapas2 halus diturunkan dari langit. Suhu kat luar, tidak pasti berapa walaupun weather forecast mengatakan 0 C. Aku rasa, tak mungkin 0 C tapi paling kurang -4 atau lebih sebab dalam kelas ni pun kami dah menggigil kesejukan. Menurut Karoliina, yang mengajar kami Quality System, tahun ini salji paling teruk sejak 10 tahun yang lalu. Kebiasaannya salji tidaklah memutih begitu sekali di Helsinki seperti mana pemandangan sekarang. Kebakaran kecil berlaku di mana-mana disebabkan keadaan kering yang mudah menyebabkan 'spark'. Orang-orang tua ramai yang patah kerana terjatuh. Yalah... jalan sangat licin dan mudah nak tergelincir. Pengalaman salji turun mungkin kita semua nantikan, namun seperti juga hujan... Kalau banyak akan menyebabkan banjir dan menjadi bencana alam yang kadangkala memusnahkan harta benda dan meragut nyawa. Namun, semua itu adalah anugerah ALLAH. Di sebalik setiap kejadian pasti ada baik dan buruknya serta ada sebabnya

Thursday, February 3, 2011

Toolo Tower

Inilah tempat aku tinggal selama berada di sini...





Wednesday, February 2, 2011

Satu hari tanpa sinar...

Sejuk benar hari ini. Suhu -7 C. Untung aku terlebih rajin memakai long john. Kalau tidak tentu menggigil aku dibuatnya.
Berangin dan salji seperti debu2 pasir putih dari langit. Mungkin ketika di Malaysia kita teringin sekali menikmati saat sebegini, namun ketika ini terasa seperti berada di dalam bilik dingin beku... Kami meredah salji dan jalan yang basah. Sesekali tergelincir dan mujurlah tidak terjatuh.
Tram no 8 tiba sebaik saja kami sampai di stesen. Sesekali roda tram berkeriuk, mungkin licin atau bergesel dengan salji yang sudah berketul menjadi ais.
Kami tiba di Hentian Arabia (hentian yg paling hampir dengan UH atau Kumpula Campus) tepat jam 0900. Di sini lebih sejuk berbanding dengan Pohjoinen Hespriankatu (Toolo TOwer) di mana tempat kami tinggal. Mungkin kedudukan Kumpula Campus hampir dengan laut. Seksanya memanjat bukit dengan salji yang licin serta beg yang agak berat serta kasut yang kelihatannya seperti kasut Ronald Mc Donald... (kasut lebih besar dari tuan). Saat ini aku memanjatkan syukur kepada TUHAN kerana di Malaysia kita tidak perlu fikir untuk macam2 pakaian. Kita boleh pakai apa saja yg kita suka.. Dan aku bersyukur kerana DIA berikan aku peluang untuk melihat kebesaran-NYA di sini. And, I miss my baju kurung... ;)

Hari ini kuliah pertama i.e introduction to VERIFIN, OPCW dan Chemical Weapons. Mujurlah aku dah tau serba-sedikit tentang semua tu, tak adalah aku melopong macam budak tadika baru kenal A B C..
Hari ni kami lunch di kafetaria. Mula2 aku tak nak makan sebab tak tahu apa yang dihidangkan. Oleh kerana Mr Vesa menerangkan bahawa makanan di situ tiada daging babi, maka aku mengambil keputusan untuk mencuba. Ada roti, nasi (macam nasi goreng tapi keras macam beras perang), bergedil ikan dan apa lagi entah..
AKu cuma menjamah bergedil ikan, roti dan salad. Harganya dalam 5.65 euros (jgn convert!). Selawat banyak2, semoga ALLAH redha dengan rezeki hari ini. Jika tidak, aku akan kelaparan dalam cuaca dingin begini.
Sejam kemudian kami sambung kembali kuliah.
Sekitar jam 0300 kuliah tamat. Ketika ini salji sudah berhenti dan kami bercadang hendak ke Helsinki City Center lagi untuk menemani Lineth (peserta dari Costa RIca) untuk cari charger komputer atau power converter. Kami juga bercadang nak ke kedai yang menjual daging halal.. (Nasib baik ada geng - Haifa dari Tunisia yg Moslem). Dan dapatlah beli ayam halal dengan harga 14.19 euros utk 2 kilo(kongsi dengan Haifa), paste tomyam, bawang, serai, daun limau purut, cili padi dan lengkuas. Jadilah untuk buat tomyam weekend ni...

Tuesday, February 1, 2011

Putihnya Salju

Hari ke 3 di sini.
Sewaktu melangkah keluar dari Töölo Tower, terasa dingin sekali. Ya, cuaca lebih sejuk dari semalam. Peti ais kat bilik pun rasanya lebih panas daripada suhu kat keluar. Tapi syukur pada Tuhan kerana aku belum diserang asma setakat ini.
Jam 0830 kami sudah terpacak di tepi jalan, menunggu tram No. 8 utk ke Uni.
Sewaktu melangkah dalam salji yang nampak macam halus dan lembut tapi rupanya licin dan keras, aku rasa macam seekor anak beruang yang sedang terkedek2... hahahhaa. I hate wearing all the coats n boot! Susah benar rasanya.. Dan saat ini aku bersyukur kerana di lahirkan di Malaysia.
Hari ini kami akan terima elaun dan akan dibawa ke bank untuk buka akaun. Dan yang pasti, aku akan cari universal adapter secepat mungkin!!!! Harap2 jumpa la..