Sunday, February 27, 2011

Akan ku sampaikan walau sepotong ayat

Aku tidak ada pengalaman berkawan dengan non-muslim. Sejak di bangku sekolah rendah, masuk ke sekolah menengah, 100% adalah Melayu dan seagama. Begitu juga di universiti, sungguhpun ada teman-teman sekuliah berlainan agama namun aku tidak pernah rapat dengan mereka. Tidak pernah terfikir untuk menampaikan apa-apa kepada mereka tentang Islam. Tambahan pula di Malaysia, segala amalan orang Islam sudah menjadi kebiasaan pada pandangan mereka. Lalu, tiada persoalan yang pernah mereka tanyakan, atau mungkin sikap prejudis antara kaum membuatkan kita semua saling mendiamkan diri.
Tetapi pengalamanku di sini, bersahabat dengan teman daripada berlainan bangsa, agama dan negara memberi aku pengalaman yang baru. Pada mulanya, aku hanya menjalankan kewajipanku kepada ALLAH SWT, sama seperti yang dilakukan di Malaysia seperti menunaikan solat 5 waktu dan menutup aurat. Ya, itu adalah kebiasaan yang tidak boleh ditinggalkan.
Setiap hari, selepas menikmati makan tengahari bersama teman-teman, aku akan mengambil peluang untuk solat zuhur. Aku perlu cepat kerana waktu zuhur di sini sangat pendek, sekitar 1-2 jam sahaja. Jika aku tidak bersegera, aku akan terlepas waktu tersebut. Jika waktu makan tengahari tidak pada waktu zuhur (kerana di sini, tiada waktu khusus utk rehat tengahari, bergantung kepada lecturer nak lepaskan kami pukul berapa), aku akan mencari waktu juga untuk menunaikan solat.
Perlakuanku rupa-rupanya menarik perhatian teman dari Costa Rica. Sudah beberapa kali dia bertanya sedikit sebanyak tentang itu ini, dan aku menjawab sebaik mungkin. Tetapi, semalam dia bertanya aku tentang solat.
Semalam, sewaktu di sauna dia bertanya kepadaku tentang solat; macam mana wuduk, kenapa kena basuh itu ini, mengapa aku bersolat, dan berapa kali.
Tentang wuduk, aku katakan begini: Sama seperti kita hendak bertemu dengan Raja atau Menteri, kita mesti hendak kelihatan bersih dan cantik serta sempurna. Apatah lagi kita hendak bertemu TUHAN, mestilah kita hendak dalam keadaan sempurna. Berkenaan dengan solat lima waktu, mengapa kita perlu mengadap TUHAN lima kali sehari, aku katakan kepadanya bahawa sama seperti dia hendak datang ke sini seperti mana yang dia pernah ceritakan bahawa dia perlu menelefon setiap hari pegawai yang hendak meluluskan suratnya agar jangan sampai pegawai itu lupakan suratnya. Justeru, begitu juga aku dan ALLAH. Aku harus 'bertemu' dia lima kali sehari agar DIA tidak lupakan aku atau tidak endahkan AKU walaupun aku tahu DIA Maha Melihat dan Maha menyayangi. Aku katakan juga kepadanya, sama juga seperti orang bercinta... Kalau kita cinta dan kasihkan kekasih kita, kita sentiasa hendak bertemu dengannya, bercerita dengannya dan tidak mahu dia lupakan kita. Nampaknya dia tertarik dengan penerangan mudahku.
Dia juga bertanya, mengapa aku perlu tutup rambutku. Aku katakan kepadanya, rambut adalah aset penting bagi seorang wanita. Ia adalah lambang kecantikan wanita. Lalu, yang cantik itu perlu disimpan baik-baik, ditutuo rapi dan ditontonkan hanya kepada yang berhak sahaja seperti suami, famili terdekat. Islam meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan wanita adalah untuk dilindungi bukan untuk dipergunakan.

Semoga... semoga dengan penerangan mudah daripada aku yang masih jahil ini akan membuka hatinya untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Manalah tahu... ALLAH hendak berikan hidayah kepadanya. Dan semoga... semoga aku telah menunaikan pesan Rasulullah SAW untuk menyampaikan walau satu ayat...

1 comments:

nangka said...

alhamdulillah..tariklah mereka dengan adab islam..besar pahalanya tidak terkira..

Post a Comment